Dalam masjid pun kalau niat tak betul sama juga..”- Kerja Bidang Seni Tak Berkat, Rosyam Nor Bidas Kenyataan Zul Yahya.

PENERBIT dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor berkata, kenyataan Zul Yahya yang menyifatkan karier pekerja belakang tabir industri filem dan drama sebagai tidak berkat dan meminta mereka mengubah haluan kerjaya sebagai pandangan peribadi.

Bagaimanapun, Rosyam berkata, Zul tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia berkaitan rezeki.

“Bagi saya, dia tak sepatutnya bercakap begitu. Sebab rezeki datang daripada pelbagai cara dan apa yang dilakukan oleh penggiat industri ini pun adalah rezeki mereka.

“Dia juga tak sepatutnya menuduh ada rasuah dan lain-lain perkara yang buruk. Mungkin dia rasa tak dapat apa-apa ketika aktif dulu, ia kerana nasib tak menyebelahinya dalam bidang seni.

“Jadi, sesiapa yang masih lagi cari makan dalam bidang ini, mereka perlu teruskan perjuangan untuk mencari rezeki,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rosyam, tanpa kru belakang tabir, bagaimana stesen TV boleh beroperasi yang mana pengisiannya turut menampilkan program dakwah.

“Ustaz dan pendakwah yang buat program ceramah dan dakwah pun ada juga unit kru sendiri.

“Jadi, kru belakang tabir sebenarnya besar peranan mereka. Tapi itulah, ini pandangan peribadi Zul.

“Mungkin nasibnya dengan izin Allah, dia dapat mencari rezeki dengan cara yang lain,” katanya.

Sepanjang yang diketahuinya, Rosyam memberitahu, tidak 100 peratus kru belakang tabir kekal dengan kerjaya ini selamanya.

“Kadangkala selepas beberapa ketika, mereka beralih cari kerja lain.

“Kalau Zul tuduh kata tak berkat, rasanya itu agak mengguris perasaan semua orang.

“Sebenarnya berada dalam industri drama dan perfileman pun rezeki daripada Allah juga,” katanya.

Rosyam berkata, sekiranya seseorang mahu melakukan perkara yang tidak senonoh dan tidak baik, ia bukan hanya berlaku dalam bidang seni.

“Dalam mana-mana bidang pun boleh berlaku. Dalam masjid pun kalau niat tak betul boleh berlaku juga.

“Kita pun pernah dengar tabung masjid kena curi serta kita pernah dengar barang-barang masjid kena curi dan yang mencuri pun orang dalam juga.

“Benda-benda ini kita tak tahu. Bila ada tuduhan itu rasanya sesuatu yang tak elok. Biarlah orang-orang seni berhadapan dengan rezeki mereka dan Allah yang menentukan,” katanya.

Rosyam menolak sekiranya ada usaha untuk mempertemukannya dengan Zul kerana enggan memperbesarkan perkara ini.

“Terpulanglah apa dia nak cakap. Dalam kerjaya kami, satu yang bagusnya ialah semua orang boleh komen baik buruk industri tapi kami tak kisah dan tak jadi kudis pun.

“Cakap apa pun, kami tetap bekerja meneruskan perjuangan kami. Mungkin ada orang keluar dari industri itu kerana dia seakan gagal bertahan,” katanya

Sebelum ini Zul Yahya keluar kan pendapat ini,

‘Cari kerja lainlah yang lebih berkat’ – Zul Yahya

PELAKON Zul Yahya, 47, menyeru pekerja industri filem dan drama kalangan kru produksi dan teknikal belakang tabir untuk mengubah haluan kerjaya yang diceburi mereka selama ini.

Menerusi perkongsian video berdurasi tiga minit di Instagram TV (iGTV), Zul berkata, sudah tiba masanya mereka melakukan perubahan dalam kehidupan untuk mencari rezeki lebih berkat di sisi Allah.

“Jom ubah kehidupan kita. Industri ini (hiburan) tak bawa ke mana pun, tak ada keberkatan. Dapat banyak pun (wang) tak pernah cukup. Dalam industri ada banyak kaki ampu, berpuak-puak, pentingkan diri sendiri dan rasuah. Begitu juga salah guna kuasa untuk peroleh sesuatu diingini.

“Nasib kru (pekerja belakang tabir) yang kerja susah payah tak ikut tempat, semua ceruk diredah dan makan tak menentu, pihak atasan tak nampak pengorbanan ini. Apa yang mereka nampak adalah keuntungan,” katanya.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya juga mendakwa penerbit, pengarah, stesen TV dan banyak pihak tak ambil berat soal keberkatan.

Katanya, apa yang ditayangkan pun tak berkat, apatah lagi yang mengusahakan produk terbabit. Justeru, Zul menyeru kepada pekerja terbabit untuk ambil peluang ubah cara hidup dan undur diri.

“Kerja dalam industri ini, EPF (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja) pun tak ada. Insurans ada yang boleh bayar, ada tak mampu. Jadi, hadirnya Covid-19 ketika ini, ia sebagai ujian untuk kita buka minda dan ambil peluang itu untuk ubah kehidupan.

“Undur diri, cari rezeki lebih berkat. Biar sedikit, asalkan cukup. Rezeki Allah ini luas dan kena berubah. Lagi pun, industri (hiburan) kita ini gagal,” katanya.

Menurut Zul, apa yang dikongsi itu berdasarkan pengalaman pernah dilaluinya mnceburi kerjaya seni selama 20 tahun.

Katanya, melalui pengalaman terbabit membuatkan dia akhirnya nekad mengundur diri meninggalkan industri seni dan berubah mencari rezeki lebih berkat.

Sehingga kini, video perkongsian Zul itu sudah mencatat lebih 6,000 komen dengan lebih 30 komen yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan berkenaan.

Sumber Hmetro

Be the first to comment on "Dalam masjid pun kalau niat tak betul sama juga..”- Kerja Bidang Seni Tak Berkat, Rosyam Nor Bidas Kenyataan Zul Yahya."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares